Kisah Inspirasi
Dari 105kg ke 73.55kg dalam tepat setahun: kisah Adam Nordin
· 4 min baca · Oleh Mohamad Faizal Saedon
Pada 11 September 2025, Adam Nordin timbang berat badan dan masukkan angka pertamanya dalam sistem Misi Ubah: 105kg.
Tepat setahun kemudian, pada 11 September 2026, angka tu dah jadi 73.55kg.
Turun 31.45kg. Hampir 30% daripada berat asal dia.

Tapi bila saya buka rekod Adam, yang buat saya terdiam bukan angka berat tu. Yang buat saya terdiam ialah betapa konsistennya dia.
Dia tak tunggu semangat datang
Hari pertama Adam lapor langkah, dia cuma jalan 5,131 langkah. Esoknya, 2,849 je.
Tak hebat pun. Tapi dia lapor. Dan dia terus lapor. Hari demi hari. Bulan demi bulan.
Dalam 14 bulan, Adam dah lapor langkah sebanyak 395 hari. Jumlah langkah dia lebih 5.2 juta, dengan purata lebih 13,000 langkah sehari.
Ada hari dia jalan hampir 40,000 langkah. Ada hari tak sampai 2,100. Tapi dia tak berhenti hanya sebab satu hari tak cantik.
Inilah yang saya selalu sebut dalam live. Kalian tak perlu sempurna. Kalian perlu konsisten. Buat sikit, asal konsisten.
Perjalanan berat Adam
- September 2025: 105kg
- November 2025: 95kg
- Januari 2026: 87.15kg
- Mac 2026: 84kg
- Mei 2026: 78kg
- Julai 2026: 75.15kg
- September 2026: 73.55kg
Tiga bulan pertama, dia dah turun 10kg.
Lepas tu? Makin perlahan. Ada bulan turun lebih 1kg, ada bulan turun bawah setengah kilo.
Inilah fasa yang ramai orang give up. Bila naik timbang, nampak perubahan kecil sangat, tak macam awal-awal dulu. Rasa macam usaha tak berbaloi.
Adam tak give up. Dia bagi masa.
Bila tabiat jadi sebahagian dari hidup
Bulan Jun 2026, Adam mula tanda tabiat harian dalam Misi Ubah. Sejak itu, hampir setiap hari dia tanda.
Kalau kalian tengok rekod laporan langkah dia, tahun pertama dia lapor lebih kurang 85% daripada hari yang ada. Sekarang? Hampir 98%.
Maksudnya, makin lama dia dalam Misi Ubah, makin kuat tabiat dia. Bukan makin pudar.
Fasa sekarang: jaga, bukan kejar
Saya nak jujur dengan kalian. Selepas capai 73.55kg, berat Adam naik sikit. Sekarang 74.8kg.
Saya tak sorok benda ni, sebab inilah realiti. Perjalanan turun berat bukan garis lurus. Ada naik, ada turun.
Yang penting, Adam masih di sini. Masih lapor langkah. Masih tanda tabiat setiap hari. Dari 105kg, dia sekarang lebih 30kg lebih ringan, dan dia tak kembali ke tabiat lama.
Apa yang kalian boleh belajar dari Adam
- Mula walaupun kecil. Hari pertama dia cuma 5,131 langkah.
- Lapor setiap hari, walaupun angka tak cantik.
- Jangan berhenti bila berat turun perlahan. Itu bukan tanda gagal.
- Bila berat naik sikit, sambung. Jangan reset semua dan mula dari kosong.
Kalau Adam boleh mula dari 105kg dengan 5,131 langkah, kalian pun boleh mula hari ini. Tak perlu tunggu Isnin. Tak perlu tunggu bulan depan.